PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mempersoal keperluan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion.
Beliau menegaskan, perolehan tersebut di bawah kementeriannya, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu masih belum ditandatangani.
“Saya tidak tahu apa yang mereka (PAC) ingin siasat. Kontrak pun belum ditandatangani lagi.
“Tiada apa yang perlu disiasat kerana ini masih di peringkat konsep. Ia belum lagi ditandatangani, seperti yang saya sebutkan di Parlimen banyak kali,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar ketika ditanya berhubung kenyataan PAC yang menyenaraikan perolehan kereta api elektrik secara pajakan itu sebagai salah satu daripada lima prosiding baharu yang akan dimulakan oleh jawatankuasa berkenaan tahun hadapan.
Pada 14 Ogos lalu, media melaporkan kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan strategi baharu perolehan aset tren-tren penumpang untuk rangkaian keretapi KTMB dengan menggunakan kaedah pajakan (leasing) melalui mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) iaitu antara kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Republik Rakyat China (PRC).
Anthony Loke dilaporkan berkata, dalam tempoh Fasa 1 iaitu dari 2024 hingga 2027, pelaksanaan dasar baharu tersebut menyasarkan penambahan sebanyak 62 set tren penumpang baharu dengan anggaran kos RM10.7 billion yang akan ditampung secara ansuran selama 30 tahun tempoh pajakan. – UTUSAN