SEREMBAN: Buat mereka yang mungkin pertama kali memasuki bandar ini, pasti hairan mengenai wujudnya sebuah kolam terbiar besar yang terletak di tengah-tengah bandar ini.
Terletak bersebelahan dengan Dataran Seremban di sini, kolam berkenaan merupakan ‘hasil’ kepada peninggalan pembangunan projek komersial yang terbengkalai kesan kegawatan ekonomi pada tahun 1997.
Memang keadaan kolam terbiar itu sedikit sebanyak ‘menyakitkan’ mata, namun lama-kelamaan ia seolah-olah menjadi pemandangan biasa kepada penduduk.
Utusan Malaysia mendapatkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar bagi mengetahui status semasa dan kemungkinan terdapat perancangan bagi memulihkan semula kolam terbiar tersebut.
Bagaimanapun jelasnya, sehingga kini tiada sebarang perancangan dibuat bagi memulihkannya oleh pihak syarikat yang merupakan pemilik kawasan tanah berkenaan.
“Ia dimiliki oleh sebuah syarikat swasta dan saya pernah menemui mereka bagi mengetahui sama ada mereka mempunyai apa-apa perancangan untuk membangunkan semula, namun mereka mengatakan masih tidak ada apa-apa perancangan mengenainya.
“Jadi sehingga kini keadaan kawasan tersebut terus terbiar, kerajaan negeri cuba bantu untuk berbincang dan melihat apakah pembangunan yang sesuai dilakukan di situ kerana setiap pembangunan perlu mengambil kira permintaan kerana pihak syarikat sudah pasti mahukan pulangan,” kata beliau.
Menjelaskan lebih lanjut, Arul Kumar memberitahu, dalam situasi semasa bukan mudah untuk membangunkan kawasan berkenaan, termasuk jika mahu menjadikan ia sebagai sebuah kawasan komersial.
“Perlu ada permintaan, kalau mahu bangunkan projek perumahan bertingkat juga bukan senang, jika mahu bangunkan kawasan komersial, kita ada beberapa kawasan yang ‘tunggu mati’, jika ada satu lagi projek komersial tanpa ada satu perancangan yang baik pasti akan wujudkan satu lagi projek terbiar.
“Kita tidak mahu perkara itu berlaku, kerajaan negeri melihat apakah projek yang betul-betul dapat menarik kehadiran orang ramai. Sudah tentu setiap pembangunan mengambil kira keperluan dan kerajaan negeri akan juga cuba mewujudkan persekitaran ekonomi yang baik di kawasan sekitar itu,” katanya.
Pada tahun 2014 pernah dilaporkan cadangan untuk membangunkan semula kawasan itu malah kerja-kerja awal juga telah dimulakan pemaju dengan mengeringkan air di dalam kolam tersebut namun akhirnya ia tidak diteruskan. – UTUSAN