PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama warga dan pelajar Sekolah Menengaj Kebangsaan (SMK) Agama Putrajaya, Presint 11, di sini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 1.10 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan warga SMK A Putrajaya.
Sejurus tiba, beliau turut berkesempatan melancarkan Laman Hadis 40 Imam Nawawi, SMKA Putrajaya.
Solat Jumaat berkenaan diimamkan Ustaz Ma’aruf Ishak Khairul itu disertai lebih 1,000 jemaah.
Anwar bersama jemaah turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Bahagia Memberi, Syurga Diganjari’ yang disampaikan oleh Ustaz Ma’aruf.
Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu mengingatkan jemaah supaya menguruskanhak-hak harta bersama penyucian jiwa menerusi amalan berzakat, infak dan berwakaf.
Menurutnya, jemaah juga diminta untuk teladani amalan para sahabat yang sanggup berkorban harta dan mengharap janji Allah sebagai balasan.
“Bersegeralah menunaikan kewajipan berzakat dan melaksanakan amalan wakaf melalui saluran-saluran yang disediakan bagi menjamin keberkatan hidup di dunia dan di akhirat,” katanya.
Terdahulu, Anwar turut berkesempatan menikmati sajian makan tengah hari di Selera Warikh N9, di Medan Selera Presint 11, di sini. – UTUSAN