IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang mengaitkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 dengan pendirian kerajaan terhadap rasuah.
Anwar berkata, pelantikan itu tidak perlu dipertikaikan kerana Musa telah pun dilepaskan dan dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah, empat tahun lalu.
“Keputusan melepaskan Tun Musa itu keputusan (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun) 2020 semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
“Apa isu dia? Kemudian melalak seolah jadi masalah apa? Ada kes dibawa (ke mahkamah), tak ada kes ditutup,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Malaysian First Jilid 1 dan 2’ oleh Tan Sri Lim Kit Siang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau telah dirujuk mengenai pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah namun ia bukanlah di bawah bidang kuasanya sebagai Perdana Menteri.
“Dalam Perlembagaan, memang kuasa negeri dan Yang di-Pertuan Agong (pelantikan Yang di-Pertua Negeri). Apakah Perdana Menteri tak tahu? Perdana Menteri tahu dan memang dirujuk.
“Tapi Perdana Menteri yang ini tahu Perlembagaan dan batasannya. Setelah Agong perkenan, apa pendirian saya? Saya terima baik keputusan Agong dan mendoakan sebaiknya supaya Tun Musa menjadi Yang di-Pertua Negeri yang baik untuk Sabah,” katanya.
Pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mencetuskan perdebatan yang mengaitkan beliau dengan tuduhan rasuah lampau dan pembebasannya pada 2020.
Musa, 73, menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Beliau menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini setelah berkhidmat selama 14 tahun sejak 1 Januari 2011. – UTUSAN