PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir terutama di negeri-negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, setakat ini, trend jumlah mangsa di beberapa negeri semakin surut terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Setakat ini juga surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor.
“Jadi kebimbangan ialah kemungkinan ada second wave (gelombang kedua banjir). Mudah-mudahan Insya-Allah kita dapat kawal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir di sini, hari ini.
Katanya, beliau juga telah mengarahkan agensi berkaitan supaya bersiap sedia dan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Mengulas perkembangan terkini banjir ketika ini, Anwar berkata, setakat jam 11 pagi tadi, seramai 63,728 mangsa daripada 19,558 keluarga ditempatkan di kira-kira 219 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya, secara keseluruhannya, jumlah mangsa banjir yang direkodkan sejak awal banjir bermula sehingga hari ini adalah 235,706 orang, sekali gus angka tertinggi pernah direkodkan dalam catatan sejarah.
“Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal InfoBencana JKM, setakat pukul 11 pagi hari ini, sebanyak 63,728 mangsa daripada 19,558 buah keluarga ditempatkan di kira-kira 219 PPS,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji semangat perpaduan dan sikap ambil berat rakyat pelbagai kaum di negara ini yang membantu mangsa banjir sama ada turun ke lokasi banjir dan memberi sumbangan.
“Saya beri contoh hari tu, bila berlaku banjir di Kelantan. Kawan saya maklum, seorang peniaga dari Bukit Mertajam sanggup kumpul barang bantuan sebanyak 10 biji lori untuk dihantar ke Kelantan.
“Dia bukan persatuan bukan apa tapi seorang peniaga cina yang agak sederhana. Ini cerita positif rakyat Malaysia.
“Semua rakyat berbilang kaum dan agama turun membantu. Ini yang patut kita hebahkan sebenarnya kerana ini berita-berita positif,” katanya. – UTUSAN