Anwar Ibrahim imbau memori rasmi Surau Kampung Belah Dua

Anwar Ibrahim imbau memori rasmi Surau Kampung Belah Dua

ANWAR IBRAHIM (kiri) bermesra bersama penduduk setempat selepas menziarahi Surau Kampung Belah Dua di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Surau Kampung Belah Dua di sini, hari ini mengimbau semula memori lokasi yang pernah dirasmikannya itu kira-kira 39 tahun yang lalu.

Beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Permatang Pauh telah merasmikan surau berkenaan pada 30 November 1985.

Kehadiran Anwar selepas hampir empat dekad ke situ disambut ahli jawatankuasa surau malah Ahli Parlimen Tambun itu juga sempat meluangkan masa hampir 10 minit melawat sekitar surau dan tadika berhampiran sebelum beramah-mesra bersama penduduk setempat kira-kira pukul 10.40 pagi.

Pengerusi jawatankuasa surau, Fadzli Md. Kassim dalam pada itu berkata, dia berkesempatan menyerahkan dokumen permohonan pembinaan surau baharu kepada Perdana Menteri sebelum pemimpin tersebut beredar untuk merasmikan Jualan Rahmah Madani di Kampung Masjid Timah.

Fadzli berkata, penduduk setempat teruja dengan kehadiran PM yang pernah merasmikan surau berkenaan, malah, pemimpin itu pernah bersolat di surau dua tingkat itu pada tahun 1983.

Katanya, jemaah masih mengingati beliau ada datang bersolat di surau berkenaan dan membantu memastikan lantai yang berbunyi ditukar segera.

“Kami mengingati jasa beliau yang banyak membantu meningkatkan keselesaan jemaah melakukan amal ibadah dan aktiviti keagamaan.

“Bagaimanapun, sudah ramai jemaah yang berusia tidak bersolat di sini kerana tidak larat memanjat tangga untuk ke tingkat atas susulan bahagian bawah surau dijadikan tadika.

“Baru-baru ini sahaja, tadika berkenaan telah dipindahkan ke kawasan belakang dan kita akan gunakan semula bahagian bawah ini sebagai ruang solat.

“Harapnya, ada peruntukan untuk pembinaan baharu mahupun baik pulih surau yang semakin usang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya