Anwar arah tindakan susulan pasca banjir mula pertengahan bulan ini

Anwar arah tindakan susulan pasca banjir mula pertengahan bulan ini

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan satu tindakan susulan pasca banjir dilaksanakan mulai pertengahan bulan ini selepas peruntukan tambahan disalurkan bagi kerja-kerja pemulihan di negeri-negeri terjejas akibat bencana itu.

Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan perkhidmatan yang ditunjukkan seluruh jentera kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, ini termasuk Skuad Ihsan Madani penjawat awam yang digerakkan Ketua Setiausaha Negara yang turut sama terlibat menyantuni mangsa-mangsa banjir.

“Ini satu hal yang patut kita siap. Bila surut tentunya ada beban dan tanggungjawab untuk memulihkan. Sebab itu kita juga sediakan perutukan tambahan untuk baiki sekolah-sekolah dan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), kemudahan kebersihan tandas dan sebagainya.

“Ia memerlukan satu tindakan susulan mulai pertengahan Disember ini. Timbalan Perdana Menteri melaporkan tadi bahawa ada beberapa keadaan surut sedikit tetapi dia melabuh ke Pahang dan Johor. Jadi maknanya kesiapsiagaan di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta susulan keadaan banjir yang semakin serius di Terengganu dan Kelantan.

Beliau berkata, peruntukan tambahan tersebut dilaksanakan apabila didapati kesan daripada banjir tersebut lebih daripada jangkaan awal.

Anwar berkata, kesiapsiagaan 82,000 seluruh jentera kerajaan termasuk keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang membantu tanpa mengira tempat, kaum dan agama membuktikan satu kekutan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, cerita tentang kebaikan ini kadang-kadang tidak dihebahkan, tetapi jika berkaitan beberapa orang penjawat awam yang lembab, bermasalah sama ada curi wang ataupun lambat dalam memberikan kelulusan dan sebagainya sering dihebahkan.

“NGO juga berperanan, kadang-kadang bukan formal, saya lihat lori-lori makanan daripada Pulau Pinang, kebetulan saya jumpa seorang dari Bukit Mertajam, dia bukan NGO, dia hanya urus 10 lori makanan, dia kirim ke Kelantan dan dia maklum kepada ATM (Angkatan Tentera Malaysia) untuk bantu menyelaraskan.

“Ini kekuatan rakyat Malaysia. Dan kebetulan daripada Pulau Pinang itu Cina (kerana) dia fikir masalah bersama,” katanya.

Pada masa sama Perdana Menteri turut menyeru sektor swasta yang lain untuk membantu menumpukan perhatian dalam musibah banjir ini sama ada memberikan dana atau mempersiapkan jentera masing-masing.

“Ada baiknya dalam keadaan sekarang bukan saja dana, tetapi siap jentera biar tiap syarikat-syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang turun juga ke gelanggang.

“Pertama dia lihat masalah kehidupan rakyat, kemiskinan dan kesusahan mereka, tapi dengan penuh kesabaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya