Anugerah Platinum ACCA: Taylor’s College rai pendidikan berprestij

Anugerah Platinum ACCA: Taylor’s College rai pendidikan berprestij

Josephine Tan (dua dari kiri) dan Andrew Lim (dua dari kanan), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), sambil disaksikan Pengerusi Taylor’s Education Group, Dato’ Loy Teik Ngan (kanan), dan Ketua Perhubungan Pendidikan ACCA Maritime Southeast Asia, Ang Wen How (kiri), pada Majlis Anugerah Platinum ACCA, Taylor’s College, di Kuala Lumpur baru-baru ini. – utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Taylor’s College memperkukuhkan posisinya sebagai institusi diyakini di Malaysia dan peringkat global melalui pencapaian status ACCA Platinum Approved Learning Partner .

Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, pencapaian tersebut mewakili tahap pengiktirafan tertinggi daripada ACCA Global.

Menurut beliau, ia merupakan pencapaian penting bagi komitmen institusi untuk menyediakan pendidikan perakaunan bertaraf dunia melalui program ACCA.

“Status Platinum ini memberikan pelajar akses yang lebih luas kepada sumber pembangunan profesional ACCA dan rangkaian global yang dapat memacu pertumbuhan kerjaya mereka.

“Selain itu, ia juga melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pandangan kritikal untuk industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Platinum ACCA di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, kepentingan pencapaian tersebut juga mengesahkan kecemerlangan program ACCA yang ditubuhkan serta dedikasi fakulti, pelajar, dan tenaga pendidik dalam bersama-sama meningkatkan standard pembelajaran.

“Dengan komitmen teguh terhadap kecemerlangan dalam pendidikan, kami akan terus membimbing pemimpin perakaunan masa depan negara, melengkapkan mereka melalui kemahiran penting untuk cemerlang dalam industri ,” kata beliau.

Sehubungan itu, dalam majlis yang sama, Taylor’s College menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ACCA.

Menurut Josephine, kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan kejayaan pelajar dengan mewujudkan laluan dwi-anugerah untuk pelajar Diploma Perniagaan.

Katanya, ini adalah sejajar dengan piawaian industri yang berkembang dan pembangunan baharu seperti Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).

Mengulas mengenai pemeteraian tersebut, beliau berkata, kerjasama ini membolehkan Taylor’s College memperkenalkan program yang disesuaikan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Sebagai contoh, pelajar dalam program Diploma Perniagaan akan memperoleh pengetahuan asas dalam perakaunan dan dapat mempersiapkan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke ACCA selepas tamat pengajian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim berkata, pengiktirafan pencapaian status Platinum menyerlahkan dedikasi Taylor’s College terhadap kecemerlangan dalam menyampaikan pembelajaran ACCA.

Beliau berkata, ini mencerminkan komitmen Taylor’s College untuk membentuk kumpulan profesional masa depan yang bukan sahaja cekap secara teknikal tetapi juga mematuhí standard yang diingini.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya berharap etika dan profesional dapat dijadikan sebagai teras kepada tujuan ACCA dalam membina masa depan yang lebih baik dan mampan kepada pelajar Taylor’s College.

“Oleh itu, pihak ACCA berharap kerjasama ini dapat memperkasakan pelajar untuk berjaya dalam landskap industri kewangan yang sentiasa berubah,” katanya.
Sebelum ini, pelajar ACCA bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan akademik tetapi mampu membuktikan kemampuan mereka bersaing di peringkat global.

Antaranya, pada tahun 2023, Taylor’s College mencatatkan markah tertinggi di Malaysia dan tempat kedua di dunia dalam Recording Financial Transactions.
Tahun ini, tradisi kecemerlangan diteruskan dengan markah tertinggi di Malaysia dan tempat kedua di dunia dalam Management Information.

Dengan hampir enam dekad membentuk landskap pendidikan Malaysia, Taylor’s College terus menerajui usaha untuk membentuk pemimpin dan professional di masa depan.

Justeru, pencapaian anugerah Platinum ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN