LARUT: Pelaku kes seekor anjing mati dipercayai akibat dipanah di sebuah ladang di Selama telah pun didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lelaki berusia 44 tahun itu diberkas polis pada pukul 4.30 petang Ahad lalu, selepas menerima laporan kejadian itu pada pukul 2.14 pagi, hari sama.
Katanya, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas satu busur panah dan lima batang anak panah daripada suspek.
“Suspek telah dituduh di Mahkamah Majiatret Taiping pada 23 Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan mahkamah sementara menunggu tarikh perbicaraan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan polis berkaitan kejadian itu dibuat oleh pengawal keselamatan ladang yang memaklumkan terdapat seekor anjing milik ladang ditemukan dalam keadaan berdarah dengan sebatang anak panah tertusuk pada badan haiwan itu.
Katanya, anjing tersebut bagaimanapun mati sebaik sahaja anak panah dicabut dari badannya.
“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas haiwan ternakan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara sehingga tiga tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu Zulkafli menasihati orang ramai supaya tidak menyiksa haiwan kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
“Jika terdapat insiden melibatkan gangguan oleh haiwan, orang ramai diminta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Terdahulu, seekor anjing dikenali sebagai Kutty dilaporkan mati ekoran cedera parah dipercayai akibat dipanah pekerja hanya kerana memasuki lorong lain di sebuah ladang di Selama.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), R. Kalaivanan dalam kenyataannya mengecam tindakan kejam itu dan menyifatkan ia sama sekali tidak boleh dibiarkan berleluasa sekali gus meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera. – UTUSAN