KUALA LUMPUR: Syarikat produksi, Katana Film, bakal tampil dengan sebuah naskhah yang mengangkat seni mempertahankan diri yang berjudul Strike: Silat Cult Master, pada 13 Februari tahun depan.
Menurut Mallory Lee selaku penerbit, filem ini bakal menggabungkan aksi silat dengan kisah fiksyen moden sekali gus menjadikannya naskhah yang berbeza.
“Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus daripada inspirasi permainan video arked pertempuran yang cukup popular sekitar era 90-an.
“Jalan ceritanya pula cukup ringkas dan saya lebih fokus kepada babak-babak aksi pertarungan kerana saya yakin ia mampu menarik minat penonton filem aksi,” katanya juga merupakan pengarah.
Strike: Silat Cult Master berkisar tentang seorang lelaki mencari pembunuh ibunya untuk menentang sebuah kumpulan yang kejam dalam sebuah pertarungan bawah tanah.
Selain mahu mempromosikan budaya Malaysia di layar perak, Mallory berpendapat silat mempunyai unsur heroik dan kaya dengan sejarah tersendiri.
“Walaupun ada pelbagai seni mempertahankan diri, namun saya melihat silat ini lebih berunsur heroik dan kaya dengan sejarah yang tersendiri.
“Misalnya kalau filem Hong Kong sudah sinonim dengan Kung Fu. Jadi, saya ambil pendekatan untuk memilih silat supaya dapat menarik penonton tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.
Tambah penerbit itu lagi, dia yakin filem Strike: Silat Cult Master ini sebagai satu perubahan trend dalam filem aksi di Malaysia.
“Ini bukan sekadar filem seni mempertahankan diri semata-mata, tetapi juga sebuah usaha untuk membuka lembaran baharu dalam industri perfileman di Malaysia.
“Saya harap filem ini menjadi pencetus trend baharu yang mampu memartabatkan silat di peringkat antarabangsa dan mengubah persepsi penonton terhadap seni mempertahankan diri ini,” ujarnya.
Sekadar info, filem tersebut bakal menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aiman Ameer yang juga juara Hero Remaja 2023, Azri Safix dan Fify Azmi.
Lebih menarik lagi, filem ini juga turut dibintangi oleh Jay Iswazir, Trisha Ooi serta Ayez Shaukat yang juga seorang penggusti tempatan yang cukup dikenali ramai.