GERIK: Seorang anggota tentera ditemukan lemas manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Merah di kawasan Hutan Royal Belum di sini Jumaat lalu.
Difahamkan, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Lans Koperal Mohd. Afandi Jahwin manakala Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi pula masih hilang.
Kedua-dua mangsa berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 8.56 pagi hari ini berhubung kejadian lemas membabitkan dua anggota tentera.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyertai gerakan operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan hutan simpan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada Jumaat lalu sekitar pukul 6 petang ketika dua mangsa itu bersama tujuh anggota yang lain sedang cuba menyeberangi Sungai Merah.
“Dua mangsa itu bagaimanapun gagal menyeberangi sungai tersebut lalu dihanyutkan arus deras,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dijalankan oleh pihak polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Seorang mangsa telah ditemui meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lagi masih belum ditemui. Usaha mencari mangsa sedang dijalankan,” katanya. – UTUSAN