Anak lihat bapa tenggelam ke dalam sungai

Anak lihat bapa tenggelam ke dalam sungai

MUHAMMAD Khairul Ikhwan Ismail menunjukkan lokasi bapanya tenggelam ketika mereka memukat di sungai Kampung Paya Parit Lateh, Jitra di Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Seorang tukang besi berdepan detik memilukan dalam hidupnya apabila melihat sendiri bapanya lemas sambil turut disaksikan ibu serta adik-beradiknya yang lain di Sungai Kampung Paya Parit Lateh, Jitra di sini, petang semalam. 

Menurut Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 7.15 petang sewaktu dia dan bapanya, Ismail Hashim, 49, sedang memukat ikan di kawasan itu. 

Katanya, mereka ke lokasi itu yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari rumah di Kampung Paya Chegar bersama ibunya, Siti Nor Sanisah Ishak, 46, serta dua adiknya iaitu Muhammad Khairul Irfan, 15, dan Siti Nur Asyyifa, 8. 

“Kami tiba di lokasi hampir 7 petang dan ayah turun ke sungai selepas Maghrib. Biasanya, ayah terlebih dulu menyeberangi jambatan di kawasan berhampiran untuk merentangkan pukat tetapi semalam, dia ambil keputusan mengikat tali di pinggang dan berenang ke seberang.   

“Ayah memang pandai berenang tetapi entah mengapa, dia tiba-tiba berpatah balik apabila hampir sampai di seberang. Saya cuba menarik tali yang diikat di pinggangnya tetapi tali itu terasa ringan kerana ayah telah buka. 

“Selepas itu saya lihat ayah tenggelam agak lama, sebelum timbul dan tenggelam semula. Situasi itu berlaku tiga kali sebelum ayah hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Tambahnya, dalam keadaan panik itu, dia dan ahli keluarganya hanya mampu menjerit dan menangis apabila dia sendiri tidak berani untuk terjun ke sungai kerana tidak tahu berenang.

“Saya sempat menjerit kepada ayah supaya terus naik ke tebing sungai di seberang tetapi dia tetap cuba berpatah balik ke sini. Ayah memang pandai berenang tetapi mungkin ‘masanya’ telah sampai.

“Selepas itu, saya gagahkan diri untuk terjun ke sungai dengan mengikat tali sama di pinggang, sambil dipegang datuk saudara, Romli Bakar, 61, yang datang untuk melihat kami memukat. Cubaan itu gagal kerana arus deras sebelum kami hubungi bomba,” katanya. 

Sementara itu Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya berdepan cabaran untuk melakukan pencarian berikutan arus deras dan air keruh di lokasi itu. 

“Kami menggunakan dua kaedah mencari dan menyelamat (SAR) iaitu pencarian di permukaan dan selaman oleh pasukan penyelamat di air (PPDA) Sungai Petani serta Jitra. Kedalaman sungai dianggarkan kira-kira 10 meter.

“Setakat ini, jarak pencarian dianggarkan sejauh kira-kira 10 kilometer dari jarak lokasi mangsa dilaporkan jatuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN