Anak lelaki Abuya didakwa cuba hina Islam

Anak lelaki bekas pengasas Al Arqam didakwa cuba hina Islam

MUHAMMAD ‘ATHOULLAH Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas pertuduhan cuba menghina agama Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Anak lelaki pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad dan isterinya didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan cuba menghina agama Islam dan bersubahat melakukan kesalahan tersebut pada September lalu.

Muhammad ‘Athoullah Ashaari, 39, dan Ummu Habibah Raihan, 41, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad ‘Athoullah didapati memiliki tiga dokumen yang disita dalam Op Global pada 21 September 2024 iaitu buku Politik Islam Membawa Kasih Sayang Bil 2857, Pendidikan Rasulullah Bil 2185 dan satu bingkai gambar Ashaari.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 petang di sebuah rumah bernombor di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah pada 21 September 2024.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu cuba menghina agama Islam dengan cara menghina fatwa yang dikeluarkan oleh mufti melalui warta bertarikh 11 Ogos 1994 dan warta bertarikh 2 Ogos 2007.

Sementara itu, Ummu Habibah Raihan didakwa di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 kerana bersubahat dengan Muhammad ‘Athoullah melakukan kesalahan itu di lokasi dan waktu yang sama.

Wanita itu berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Atras Mohamad Zin bersama Timbalannya, Norazita Mohd. Ali, Ummu Hani Hishamuddin, Rabiatul Adawiah Mohd. Dahlan dan Mohd. Rafaie Zasari.

Pendakwaan mencadangkan jaminan berjumlah RM1,000 terhadap Muhammad ‘Athoullah sebelum ini dilanjutkan sehingga ke tarikh perbicaraan baharu sementara Ummu Habibah diikat jamin RM3,000 atau dua orang penjamin.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam syarie Mohd. Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd. Faizal Mohamad.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 13 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengarahkan dua lagi anak lelaki Ashaari masing-masing berusia 42 dan 45 tahun serta isteri-isteri mereka yang sepatutnya dituduh hari ini ditunda ke 13 Februari dengan jumlah bon jaminan sama dikenakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya