DUNGUN: Kebimbangan seorang anak apabila bapanya tidak pulang ke rumah sejak petang semalam terjawab apabila lelaki itu ditemukan mati di belukar berhampiran sungai di Durian Mentangau, hari ini.
Mohd Firdaus Daniel Zulkifli, 18, berkata, dia menemuikan mayat bapanya, Zulkifli Awi, 54, dalam keadaan tertiarap dan sudah tidak bernyawa kira-kira pukul 12 tengah hari.
Katanya, bapanya yang bekerja sebagai pengutip besi buruk tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Balai Besar, sejak petang semalam.
“Semalam, ayah saya keluar kerja pukul 6 pagi, biasanya dia pulang untuk makan tengah hari sebelum sambung semula bekerja. Namun, tengah hari semalam ayah tak balik hinggalah lewat malam tadi.
“Saya cuba menghubungi telefon bimbit ayah, namun tidak dijawab. Saya cuba cari ayah di tempat kerjanya, namun dia tiada. Kemudian, saya dihubungi rakan ayah yang menemukan keretanya di Durian Mentangau sebelum ke lokasi tersebut,” katanya hari ini.
Anak bongsu daripada enam adik beradik itu berkata, dia bersama dua lagi rakannya kemudian mengikut kesan tapak kasut yang dipercayai milik bapanya berhampiran kereta bapanya ditemukan
“Kami ikut tapak kasut tersebut sebelum menemukan ayah tertiarap di atas tanah, saya dapati ayah sudah tidak bernyawa,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu.
“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN