PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir yang dijangka melanda beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
Menerusi perkongsian di aplikasi X, MetMalaysia memaklumkan ribut petir dan hujan lebat diramalkan berlaku di Sarawak melibatkan daerah Miri termasuk Subis, Beluru dan Marudi.
Manakala di pula Sabah, amaran sama turut melibatkan keseluruhan daerah Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sebelum ini, MetMalaysia menjangkakan beberapa negeri akan mengalami hujan berterusan tahap waspada di Sabah selama tiga hari bermula Sabtu ini.
Cuaca serupa juga dijangka melanda negeri Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah dan Pasir Puteh selama tiga hari bermula 29 Disember ini.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca buruk ini. – UTUSAN