PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku melibatkan tiga negeri.
Tiga negeri itu adalah Johor yang dijangkakan hujan hingga esok manakala Sarawak dan Sabah hingga Ahad ini.
Ketua Pengarah Met Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember ini berdasarkan analisis model-model cuaca terkini.
Tambah beliau, satu kawasan bertekanan rendah dijangka terbentuk di Sarawak pada 20 hingga 22 Disember ini.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Johor, Sarawak, Sabah serta Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengemaskini Amaran Hujan Berterusan (Waspada) yang melibatkan timur Johor berkuat kuasa sehingga 20 Disember 2024.
“Manakala Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di Sarawak dan Sabah berkuat kuasa sehingga 22 Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, MET Malaysia juga telah mengemaskini Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan dan berkuat kuasa sehingga 24 Disember 2024.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi Met Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya.