SEPANG: Pelawak Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis Kanabis atau ganja lebih 60 gram minggu lalu.
Along Cham atau sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Amir Affendy Hamzah dan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didapati dalam milikannya disyaki dadah berbahaya jenis Kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Laman Lakeview, Cyberjaya di sini pukul 3.10 petang pada 14 Disember lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta yang sama.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan tidak kurang dari 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara tertuduh diwakili peguam Mohd. Fadly Hashim.
Bagaimanapun semasa prosiding, Along Cham membuat rayuan sendiri bagi diberikan ikat jamin.
“Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah, saya merayu saya ada anak, saya janji, sumpah akan beri kerjasama,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Ahmad Fuad tidak membenarkan jaminan berikutan peruntukkan undang-undang mengikut seksyen itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
“Jaminan tidak dibenarkan, peruntukan undang-undang telah nyatakan kes ini tidak boleh dijamin. Kes ini tidak boleh dijamin, jika peruntukan undang-undang menyatakan boleh dijamin, bolehlah saya pertimbangkan.
Justeru Hakim Ahmad Fuad tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.
Sementara di Mahkamah Majistret, Along Cham didakwa dan mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan sama membabitkan anggaran berat dadah jenis sama 2.07 gram pada tempat, waktu dan tarikh
serupa.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya
Nur ‘Ain Madihah Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh mempunyai satu lagi kes di Mahkamah Sesyen yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun peguam Mohd. Fadly memohon dibenarkan ikat jamin kerana anak guamnya perlu menyara seorang isteri dan empat anak.
Majistret Muhammad Bukhori kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah isteri selebriti itu, Afreena Suhaimi, 32.
Media sebelum ini melaporkan, selebriti itu ditahan di sebuah rumah teres di Cyberjaya pada petang 14 Disember lalu bersama dadah disyaki ganja seberat 60.3 gram.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Norhizam dilaporkan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).
Siasatan awal juga mendapati, suspek tidak mempunyai sabitan rekod lampau malah, dikatakan sudah menagih dadah sejak lapan tahun lalu. – UTUSAN