PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan, ‘pegawai diberi kuasa’ (PDK) tidak mempunyai kuasa untuk menahan orang yang dijangkiti sebaliknya hanya berkuasa menyiasat dan mendapatkan maklumat berkenaan penyakit.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), PDK juga hanya diberi kuasa untuk mendapatkan sejarah perjalanan, kontrak rapat dan apa-apa maklumat berkaitan penyebaran penyakit.
Beliau berkata, PDK juga boleh mengeluarkan arahan kepada orang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti menjalani pengasingan dan pengawasan tempat yang difikirkan patut berdasarkan garis panduan ditetapkan dan tidak terhad di stesen kuarantin atau hospital.
“Bagaimanapun, pegawai diberi kuasa masih boleh memohon bantuan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) jika mereka dikasari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, bantuan itu boleh dibuat berdasarkan pelaksanaan aktiviti pengawalan dan pencegahan penyakit berjangkit mengikut Seksyen 5 dalam Akta 342 sedia ada.
Dr Dzulkefly berkata, beliau ingin menjelaskan bahawa PDK tidak ada kuasa untuk menahan orang dijangkiti dan apa yang tersebar di media sosial adalah tidak benar sama sekali.
Menurutnya, Akta 342 ini sebenarnya adalah hanya terhad kepada pencegahan atau pengawalan penyakit berjangkit sahaja, jadi pegawai yang diberi kuasa hanya mempunyai kuasa-kuasa tertentu.
“PDK hanya tahan untuk sekadar melengkapkan apa-apa maklumat berkaitan sahaja sebelum orang dijangkiti ata disyaki dijangki di bawa untuk isolasi dan kuarantin.
“Ini adalah antara persepsi yang telah timbul dan ditularkan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan seolah-olah kita ada detention (penahanan) pula dan ini satu yang sangat mustahak untuk diperjelaskan,” katanya.
Katanya, setakat ini, 6,250 pegawai dan kakitangan KKM diberi kuasa PDK oleh Menteri Kesihatan mengikut Akta 342. – UTUSAN