ALOR GAJAH: Mangsa banjir yang kehilangan atau mengalami kerosakan pada lesen memandu, cukai jalan dan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) boleh mendapatkan dokumen berkenaan melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu ke kaunter.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, individu yang telah mendaftar aplikasi MyJPJ boleh mengakses secara terus dokumen berkenaan pada bila-bila masa.
Kata beliau, kehilangan dokumen ketika ini tidak lagi menjadi masalah kerana menjadi tanggungjawab agensi penguat kuasa termasuk JPJ untuk menentukan kesahihan dokumen tersebut.
“Jadi tidak perlu bimbang kerana mana-mana yang terkesan tidak perlu membuat penggantian kerana tanggungjawab itu terletak pada bahagian agensi penguat kuasa. Kita juga ada pendigitalan (dokumen), jadi orang awam masih boleh gunakan MyJPJ.
“Bagi yang tiada MyJPJ, mereka hanya perlu mendaftar untuk mengakses dokumen digital seperti lesen, cukai jalan, geran dan VOC,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian JPJ Cawangan Masjid Tanah di sini, hari ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh merasmikan cawangan JPJ itu yang bakal memberi manfaat kepada seramai 205,000 penduduk Alor Gajah sekali gus dijangka mengurangkan sehingga 20 peratus kesesakan pelanggan di Kompleks JPJ Bukit Katil.
Menurutnya, hampir 10,000 pelanggan telah hadir berurusan untuk lima jenis urus niaga yang ditawarkan sepanjang tempoh setahun perkhidmatan JPJ Mobile di Masjid Tanah.
“Dalam tempoh itu juga sebanyak 26,338 transaksi direkodkan dengan kutipan hasil berjumlah RM2.52 juta. Justeru, memang ada keperluan sangat tinggi untuk kita buka cawangan baharu di kawasan Alor Gajah.
“Sebelum ini mereka berurusan di Kompleks JPJ Bukit Katil yang terletak hampir 36 kilometer dari Masjid Tanah. Jadi kita jangkakan kesesakan dapat dikurangkan antara 10 hingga 20 peratus susulan hampir 100 pelanggan didapati berkunjung ke cawangan Masjid Tanah setiap hari,” ujarnya. – UTUSAN