AKPS ambil alih seluruh operasi di pintu masuk tahun hadapan

Parlimen: AKPS ambil alih seluruh operasi di pintu masuk tahun hadapan

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka mengambil alih keseluruhan operasi di 114 pintu masuk negara bermula Januari 2026.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, AKPS akan mula beroperasi seawal 1 Februari 2025 melibatkan 22 pintu masuk dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan sebagai lokasi operasi rintis.

“AKPS dijangka untuk mengambil alih operasi seluruh pintu masuk aktif negara iaitu sebanyak 114 pada Januari 2026. Kita masih lagi dalam proses untuk meningkatkan dari segi perjawatan.

“AKPS adalah agensi kawalan barisan hadapan pintu-pintu sempadan negara dan pelabuhan, yang bertanggungjawab untuk penugasan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu di pintu masuk darat, laut dan udara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu jumlah petugas AKPS dan kekuatan aset serta lokasi penugasan agensi berkenaan, selain statistik pemerdagangan orang membabitkan mangsa rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, bagi kes pemerdagangan orang sejumlah 479 kes dengan 911 tangkapan direkodkan bagi tempoh 2021 hingga Ogos lalu.

“Dari 2023 hingga 30 September lalu, Op Taring Wawasan merekodkan 3,031 kes dan 4,216 tangkapan dengan nilai rampasan RM346.85 juta, membabitkan kesalahan berkaitan penyeludupan dadah, rokok, minuman beralkohol, petrol, diesel dan pendatang tanpa izin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya