Akmal diminta mohon ampun dengan Sultan Kelantan

Akmal diminta mohon ampun dengan Sultan Kelantan

EZZAT Hanuzi (dua dari kanan) bersama kepemimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan dalam sidang akhbar di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menggesa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V untuk memohon ampun atas kenyataan  berhubung pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.

Ketuanya, Ezzat Hanuzi berkata, Muhamad Akmal juga didesak membuat permohonan maaf terbuka kerana mempertikai proses pengampunan tersebut memandangkan ia telah diselesaikan secara sah oleh Lembaga Pengampunan dan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, rayuan pengampunan penuh Anwar telah dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-51 pada 16 Mei 2018 mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan mendapat perkenan penuh Sultan Muhammad V yang merupakan Yang Dipertuan Agong ketika itu.

“Proses tersebut telah dijalankan dengan telus serta mematuhi semua prosedur perundangan. Muhamad Akmal sepatutnya menghormati proses-proses sah oleh badan kehakiman tertinggi negara dan tidak menimbulkan kekeliruan awam.

“Sebagai ahli politik, beliau sepatutnya bertanggungjawab memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara, bukannya merosakkan kepercayaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhamad Akmal menerusi akaun Facebook miliknya dikatakan mempersoal pengampunan diraja yang diperoleh Anwar dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.

Dalam pada itu, Ezzat menggesa Muhamad Akmal menunjukkan rasa hormat dan setiakawan terhadap rakan-rakan serta parti politik yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

Katanya, kenyataan  dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencerminkan sikap tidak matang yang mencemarkan semangat kerjasama serta perpaduan yang telah diusahakan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN