MUAR: Seorang guru lelaki mengalami kerugian hampir RM200,000 ditipu dua individu yang menyamar sebagai wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pegawai polis, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil TNB kira-kira pukul 3 petang, 24 November lalu yang menyatakan dia terlibat dalam pengubahsuaian meter elektrik.
“Mangsa juga diberitahu terdapat waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya. Seterusnya panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki mengaku sebagai pegawai polis dan menyatakan mangsa juga terlibat dalam penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, mangsa telah diminta membuat bayaran bagi membuktikan tidak melakukan kesalahan tersebut.
“Oleh kerana takut dan percaya dengan tuduhan individu tersebut, mangsa telah membuat 19 transaksi pindahan wang ke lapan akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM198,550,” katanya sambil memberitahu mangsa membuat laporan polis tentang kejadian itu petang semalam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon. – UTUSAN