Bapa yakin Ahmad Zulhilmi, juruselam komando yang hilang masih hidup

Bapa yakin Ahmad Zulhilmi, juruselam komando yang hilang masih hidup

AHMAD Tarmizi Safar menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Zulhilmi sambil diperhatikan Zuraida Abu Bakar semasa ditemui di rumah mereka di Kampung Padang Limau, Kota Kuala Muda di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: “Dengan kepakaran dimilikinya sebagai anggota juruselam dalam unit elit itu, kami percaya dia akan ditemui jua dalam masa terdekat.”

Demikian Ujar Ahmad Tarmizi Safar, 54, bapa kepada anggota pasukan 22 Komando, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi yang masih hilang di Banding, Perak.

Katanya, dia bersama isteri, Zuraida Abu Bakar, 54, juga menaruh harapan agar Ahmad Zulhilmi, 24, akan ditemukan dalam keadaan selamat.

“Naluri kami suami isteri kuat menyatakan bahawa anak kami masih lagi hidup,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Limau, Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, mereka menyerahkan usaha pencarian itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana pihak tersebut lebih mengetahui dan mempunyai kepakaran menjejaki orang hilang.

“Saya sering dihubungi pihak tentera setiap masa untuk dimaklumkan perkembangan pencarian bermula Ahad lalu iaitu 24 jam selepas anak saya dilaporkan hilang.

“Berita kejadian itu diterima pada pagi Ahad lalu dan sebagai bapa pada mulanya saya turut sedih dengan kejadian yang menimpanya namun menganggap itu adalah asam garam seorang anggota tentera yang bertugas,” katanya.

Kata Ahmad Tarmizi, dia turut membuat majlis bacaan Yasin dan solat hajat agar pencarian anaknya dipermudahkan.

Sementara itu, Zuraida berkata, Ahmad Zulhilmi sempat menghubunginya ketika mahu menyertai operasi itu sebelum dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika meronda berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand di Banding Perak.

“Seperti biasa setiap kali akan menyertai operasi dia sememangnya menelefon saya termasuk yang baharu ini, dia minta saya doakan dia selamat pergi dan pulang yang dijangka pada awal Januari ini,” katanya.

Selain Ahmad Zulhilmi, pasangan itu mempunyai seorang lagi anak, Ahmad Alif Najmi, 21, yang juga seorang anggota tentera di Kem Lok kawi, Sabah.

Ahmad Zulhilmi mula menyertai pasukan Komando sejak lima tahun lalu selepas menamatkan latihan asas perajurit di Kem Port Dickson. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN