PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan keputusan lepas dan bebas terhadap 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Perkara itu diputuskan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan di sini semalam yang dipengerusikan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara menarik balik semua rayuan terhadap kes ini.
“Setelah AGC menarik balik rayuan-rayuan terhadap responden, dengan ini mahkamah membatalkan rayuan,” katanya yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 September 2022 yang melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Terdahulu, sebelum memaklumkan untuk menarik balik rayuan, Yusaini memberitahu pendakwaan mendapati tiada keterangan yang menunjukkan bahawa Ahmad Zahid telah menggunakan jawatannya secara langsung untuk menganugerahkan kontrak-kontrak yang menjadi subjek dalam perbicaraan ini.
Ujar beliau, keterangan menunjukkan kontrak-kontrak tersebut telah dianugerahkan sebelum responden (Ahmad Zahid) menjawat jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan situsi itu menidakkan kewujudan peluang dan atau ruang untuk Ahmad Zahid menyalahgunakan kuasanya.
Sementara itu, dalam isu lain, Yusaini berkata, lejer yang direkodkan oleh saksi pendakwaan ke-17 (SP17) turut menunjukkan terdapat pelbagai transaksi kewangan melibatkan nama-nama ramai individu namun tiada rekod menunjukkan transaksi-transaksi atau individu-individu ini telah disiasat sepanjang kes ini berlangsung.
“Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan menunjukkan terdapat kelompangan serius dalam rantaian keterangan kes ini.
“Setelah mempertimbangkan representasi-representasi dan mengambil kira dapatan-dapatan fakta Hakim Bicara (Mahkamah Tinggi Shah Alam) Jabatan Peguam Negara mendapati terdapat asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (lepas dan bebas). Sehubungan itu, Peguam Negara menarik balik kesemua rayuan yang difailkan di sini,” kata Yusaini.
Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN. – UTUSAN