BUTTERWORTH : Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu resolusi telah dicadangkan dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di sini iaitu untuk mewujudkan Yayasan ASEAN sebagai satu entiti bagi membantu menangani pelbagai isu serantau ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, antara isu tersebut ialah berkaitan bencana alam dan hal ehwal kesihatan seperti pemindahan serta pendermaan organ dan sebagainya.
Sehubungan itu, beliau berkata, cadangan berkenaan akan dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas ini memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
“Cadangan ini (bagaimanapun) bergantung kepada kelulusan (sebulat suara daripada) negara-negara ahli (ASEAN) yang lain.
“Apapun, kita berharap agar dana ini dapat dikumpulkan bagi membantu menangani masalah yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN tanpa peruntukan secara terus daripada negara-negara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Pulau Pinang di Pusat Konvensyen PICCA di sini, hari ini.
Selain menangani isu berkaitan bencana alam dan kesihatan, Ahmad Zahid berkata, dana yang dikumpul melalui Yayasan ASEAN juga boleh digunakan sebagai biasiswa untuk rakyat yang tinggal di negara-negara ASEAN.
“Dalam hal ini, kita (Malaysia) bukan hanya mahu menyelesaikan permasalahan perdagangan, diplomasi, ekonomi, kewangan, tetapi mahu ASEAN Foundation (Yayasan ASEAN) ini diwujudkan.
“Ia bagi membantu dalam menyelesaikan pelbagai isu yang tidak semestinya boleh diselesaikan melalui ‘inter-government solutions’ (penyelesaian antara kerajaan) sahaja,” ujar beliau. – UTUSAN