KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak termasuk ahli politik diingatkan berhati-hati melontarkan sebarang pandangan mengenai Universiti Putra Malaysia (UPM) khususnya membabitkan soal pertukaran nama universiti tersebut.
Presiden Kesatuan Kakitangan Am UPM (KEPERTAMA), Norsyahriman Md. Arif berkata, sekiranya nama UPM dikembalikan kepada nama asal, akan membabitkan kos yang tinggi dan dalam keadaan kewangan tidak mengizinkan, sebarang perbelanjaan dilihat tidak penting amat wajar dielakkan sama sekali.
“KEPERTAMA turut berharap selepas ini Anggota Pentadbiran Kerajaan atau ahli-ahli politik akan lebih berhati-hati dalam melontarkan sebarang pandangan mengenai UPM kerana institusi pendidikan berkenaan milik rakyat dan antara aset berharga negara.
“Pandangan, cadangan atau komen yang kurang cermat akan berisiko untuk merencatkan usaha UPM ke arah melahirkan anak bangsa dan graduan bitara yang holistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan nama universiti tersebut ditukar kepada Universiti Pertanian Malaysia, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Bagaimanapun, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM bertitah tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Norsyahriman berkata, meskipun nama Universiti Pertanian Malaysia ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997, namun universiti itu tetap meletakkan bidang pertanian antara fokus terpenting dalam usaha menjadi sebuah universiti yang terkemuka sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Setiap kali pelan strategik dan matlamat UPM dibincang dan dibentang, pastinya agenda memperkasakan pertanian tidak pernah tercicir dan dengan hanya menukar nama, tiada sebarang jaminan pun segala isu yang berkaitan dengan pertanian dan keterjaminan makanan dalam negara akan selesa,” katanya.
Antara usaha dilakukan bagi memperkukuh bidang pertanian adalah menjenamakan semua aktiviti pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan dengan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’ yang dilancarkan sendiri oleh Sultan Selangor yang juga merupakan Canselor UPM pada 16 Mei 2024.
“UPM turut melancarkan ‘Blueprint Keterjaminan Makanan UPM’, bertujuan membantu kerajaan membina sistem makanan lestari, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan yang bermakna di peringkat nasional mahupun di peringkat global,” katanya.
Beliau menambah kedudukan UPM dalam QS World University Ranking yang saban tahun meningkat antara bukti UPM berada dalam landasan terbaik untuk terus berperanan dalam memakmurkan kehidupan rakyat khususnya dalam konteks pertanian dan keterjaminan makanan. – UTUSAN