BUTTERWORTH : Seorang ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah lebih RM600,000 daripada seorang ahli perniagaan lain, lima tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah memutuskan demikian selepas selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Chan Eng Leong, 50.
Eng Leong ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah yang akhirnya membersihkan namanya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah meminta daripada Goh Choon Kim suapan wang sebanyak AS$150,000 sebagai dorongan kononnya boleh membantu menyelesaikan kes siasatan ke atas Choon Kim oleh polis Bukit Aman di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Eng Leong didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Vangohh Eminent Hotel, Bukit Mertajam di sini antara 30 hingga 31 Mac 2019 kira-kira pukul 5 petang.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa secara rasuah menerima wang sebanyak RM615,000 daripada Choon Kim untuk menyelesaikan kes tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Global Tobacco Manufactures Sdn. Bhd. di Machang Bubok, Bukit Mertajam di sini pada 1 April 2019 kira-kira pukul 5 petang.
Bagi kedua-dua kesalahan, dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd Anas manakala tertuduh diwakili peguam, R.S.N Rayer. – UTUSAN