PETALING JAYA: Pelaksanaan moratorium perlu dikenakan ke atas mana-mana siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang melibatkan karya satira dan parodi.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, ini kerana pindaan Akta 588 belum dikuatkuasakan walaupun telah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, langkah pelaksanaan moratorium itu juga perlu sementara menunggu proses perkenan diraja pewartaan dan penentuan tarikh kuatkuasa bagi pindaan berkenaan.
“Sementara menunggu proses perkenan diraja, pewartaan dan penentuan tarikh kuat kuasa bagi pindaan-pindaan tersebut, moratorium wajar dikenakan ke atas apa-apa siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233(1) Akta 588 berkaitan karya satira dan parodi,” kata dalam kenyataan hari ini.
Polis sebelum ini merekod keterangan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza untuk siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, memandangkan karya satira dan parodi masih terangkum bawah elemen ‘palsu’ dalam Seksyen 233(1) Akta 588 buat masa ini dan pindaan-pindaan yang diluluskan tidak mempunyai kesan retrospektif, maka sewajarnya moratorium yang dicadangkan adalah untuk menghormati penzahiran niat perundangan dalam meluluskan RUU pindaan tersebut.
“Pihak berkuasa juga diingatkan bahawa setiap rakyat Malaysia berhak ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Hak ini hanya boleh disekat melalui undang-undang sekiranya ia menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya. -UTUSAN