KUALA LUMPUR: Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Razak tentang hukumannya dibawa ke Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk pertimbangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengemukakan perkara tersebut untuk pertimbangan Seri Paduka Baginda kerana soal titah addendum terus dibangkitkan.
Kata beliau, dirinya mengambil pendekatan tersebut kerana merasakan sesiapa sahaja berhak untuk diberikan pertimbangan selepas dijatuhi hukuman.
“Saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang, pada masa yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda, merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sekarang.
“Sebagai orang yang memenuhi tanggungjawab, saya lakukan kerana bagi saya siapa pun berhak untuk diberikan pertimbangan sama ada menilai cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan yang disebut fountain of mercy,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari (BN-Pekan) Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang memintanya menyatakan langkah kerajaan bagi menamatkan sebarang pertikaian dan spekulasi mengenai titah addendum tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara mengenai titah addendum turut dibincangkan semasa perjumpaannya dengan Seri Paduka Baginda semalam di sebuah restoran di Johor Bahru, Johor.
“Semalam kebetulan di Johor Bharu, perkara ini dibincangkan secara sepintas lalu kerana Yang di-Pertuan Agong nak tahu perkembangan terkini.
“Jadi kita serah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membawa dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menimbang sebaiknya,” katanya. – UTUSAN