IPOH: Isu mengibarkan bendera China di Teluk Intan pada Oktober lalu kecoh dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak apabila dibangkitkan status warganegara individu yang terlibat.
Keadaan menjadi panas apabila Ketua Pembangkang, Razman Zakaria mendakwa ada senarai nama mereka yang dikatakan terlibat dalam kejadian itu.
Namun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti kerajaan bangkit mempersoalkan dakwaan tersebut dan meminta Razman mengemukakan bukti serta-merta jika senarai nama itu adalah rakyat tempatan.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid meminta Razman bertanggungjawab terhadap dakwaan tersebut dengan memberikan bukti atau menarik balik kata-katanya.
Razman menjawab beliau hanya mempunyai senarai nama tersebut dan meminta siasatan dibuat oleh pihak berkuasa.
“Saya minta pihak berkuasa ambil bukti ini daripada saya untuk kita sahkan (rakyat tempatan atau asing). Sekiranya salah, kita tarik balik,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2025 negeri Perak di sini hari ini.
Sementara itu semasa mengadakan sidang akhbar, Razman yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Perak mengulangi agar siasatan lebih mendalam dibuat berkaitan isu tersebut.
Kejadian yang berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan itu tular dalam media sosial sehingga mengundang perang mulut pelbagai pihak.
Menurut laporan media, bendera tersebut dikibarkan oleh warga China yang terlibat dalam perarakan sambutan Guan Gong Sedunia itu. – UTUSAN