‘Adik belum balik, kami tiada maklumat’

‘Adik belum balik, kami tiada maklumat’

NAJIB Lep menunjukkan gambar adiknya Nazir Lep ketika ditemui di Kampung Jeram Masjid, Muar, Johor, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Tahanan Kem Guantanamo, Cuba yang dikatakan sudah diserahkan kepada kerajaan Malaysia masih belum dapat ditemui oleh ahli keluarganya malah mereka tidak menerima sebarang maklumat berkaitan perkara itu.

Najib Lep, 60, berkata, mereka masih belum menerima sebarang berita berkaitan adiknya Mohammed Nazir Lep, 48, walaupun sudah mengetahuinya menerusi laporan media.

“Adik belum balik dan saya tidak terima sebarang maklumat berkaitan Nazir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Amerika Syarikat (AS) sudah menyerahkan dua rakyat Malaysia yang ditahan di Kem Guantanamo.

Seorang lagi yang ditahan dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia ialah Mohammed Farik Amin.

Dalam pada itu, Najib memberitahu dia dan keluarganya melahirkan rasa syukur kerana penantian sejak sekian lama akhirnya terlerai dan harapan untuk bersatu semula, menjadi kenyataan.

Ujarnya, perkembangan itu memberi khabar gembira kepada keluarga mereka di Kampung Jeram Masjid di Muar.

“Bagaimanapun, berita itu hanya diketahui melalui akhbar dan masih belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada kerajaan,” katanya.

Kedua-dua mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.

Mohammed Nazir dan Mohammed Farik yang berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar, mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.

Kedua-dua mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan boleh dibebaskan menjelang 2029. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya