PETALING JAYA: Keadaan pelakon, Datuk Adi Putra, dilaporkan semakin stabil walaupun mempunyai gejala ringan seperti demam dan batuk.
Menurut isteri, Aida Yusof, pelakon itu sudah dibenarkan keluar dari hospital semalam namun dinasihati berehat dua hari sebelum memasuki set penggambaran.
“Sebenarnya waktu itu Adi sedang dalam penggambaran slot Samarinda untuk sebuah drama Sekam di Dada. Tiba-tiba badannya demam, bila pergi dapatkan rawatan di hospital ada jangkitan kuman pada paru-paru.
“Alhamdulillah keadaannya sudah semakin stabil. Doktor buat ujian darah dan dapati tiada masalah serius. Cuma kena makan antibiotik dan berehat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya lagi, pelakon Mat Kilau itu tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran kerana tidak mahu menyusahkan kru yang terlibat.
Malah, Adi Putra juga tidak mahu menangguhkan penggambaran kerana perlu terbang ke Mekah minggu hadapan dan menguruskan perniagaan produk penjagaan wajah, Darling Moisturizer.
“Adi tidak mahu susahkan produksi dan mahu ikut jadual yang ditetapkan. Kalau ikutkan, 4 Januari nanti dia perlu terbang ke Mekah. Sekarang memang dia sangat sibuk ulang alik Malaysia-Mekah.
“Kemudian dia perlu sambung semula penggambaran dan mahu fokus untuk hasilkan produk penjagaan wajah iaitu pelembap,” tambahnya.
Terdahulu, Adi Putra menerima rawatan di sebuah pusat perubatan apabila mengalami jangkitan kuman di paru-paru dan batu karang. -UTUSAN