PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan DAP sama ada parti itu akan keluar daripada kerajaan perpaduan sebagai tanda protes sekiranya bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah.
Beliau berkata, kerajaan perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ramai pihak mengenai kewujudan titah adendum didakwa dikeluarkan oleh Sultan Pahang semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
“Jika DAP percaya bahawa YDPA tidak patut mempunyai keputusan muktamad dalam hal pengampunan, mereka sepatutnya mencadangkan usul di parlimen untuk meminda perlembagaan dan sama ada mengehadkan atau menghapuskan kuasa pengampunan YDPA.
“Selain itu, jika adendum diraja dikeluarkan dan Najib diberikan tahanan di rumah, DAP perlu menjelaskan, adakah mereka akan keluar dari kerajaan sebagai tanda protes, atau adakah mereka akan menggunakan perkara ini sebagai alasan untuk mengkritik sambil kekal berkuasa?” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Dalam kenyataan yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, Ka Siong menjelaskan pendiriannya mengenai beberapa persoalan berkaitan titah berkenaan.
Katanya, titah tambahan itu tidak boleh disembunyikan oleh kerajaan, selain rakyat berhak tahu mengenai kewujudannya.
“Kerajaan mesti bersikap telus. Jawapan “ya” atau “tidak” yang ringkas sudah memadai, bukannya hampir setahun berdolak-dalih. Atau adakah ketelusan bukan lagi keutamaan kerajaan ini?
“Jika kerajaan boleh menyembunyikan titah diraja hampir setahun, apa lagi yang mereka tidak beritahu atau sembunyikan? Saya tidak tahu—anda tahu?” soalnya.
Baru baru ini, Lip Eng membalas kritikan Ka Siong terhadap perdana menteri, Anwar Ibrahim dengan mengelarkan presiden MCA sebagai “tin Milo kosong”.
Dalam pada itu, Ka Siong menegaskan jika titah tambahan itu wujud, ia mesti dipatuhi kerana melengahkan pelaksanaanya adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN