IPOH: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat kesan seretan seakan koyakan fabrik berwarna hitam di lokasi pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie dilanggar.
Menurut Inspektor Jong Pit Chao, 37, penemuan kesan seretan itu ditemukan ketika beliau membuat pemeriksaan di lokasi kejadian pada hari sama insiden itu berlaku pada 15 Disember 2023.
Kata saksi pendakwaan ke-29 itu, turut ditemukan di lokasi kejadian ialah serpihan komponen kenderaan, serpihan nombor pendaftaran kenderaan belakang motosikal, alat tulis seperti pensil, gunting dan botol gam, rantai tangan berwarna perak dan kesan dakwat biru.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada kesan brek di atas jalan di lokasi perlanggaran.
“Saya kemudiannya telah membuat lakaran rajah kasar tempat kejadian dan mengarahkan Koperal Shahiran Mohamad untuk mengambil gambar tempat kejadian,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya.
Pit Chao merupakan pegawai penyiasat trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang bertugas pada hari perlanggaran membabitkan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu seorang pegawai polis dan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif.
Menurut Pit Chao, setelah proses bedah siasat selesai dijalankan dan jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga, dia kemudian membuat siasatan terhadap pemandu Perodua Ativa setelah lelaki itu hadir ke IPD Ipoh untuk membuat laporan polis.
Katanya, beberapa tindakan diambil terhadap pemandu kereta tersebut termasuk ujian air kencing dan hasil ujian mendapati negatif serta bebas daripada kehadiran dadah.
“Saya juga telah mengambil sampel darah dan air kencing penama (Mohd. Nazri Abdul Razak) di hospital bagi tujuan pemeriksaan toksikologi dan asid deoksiribonukleik (DNA) dan profiling.
“Selepas proses tersebut selesai, Mohd. Nazri telah dimasukkan ke dalam lokap untuk tujuan penahanan pada pukul 4 pagi, 16 Disember 2023,” katanya.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-28, Inspektor Nor Azlan Zaidin, 38, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu, dekoder kamera litar tertutup (CCTV) Masjid Muhammad Al-Fateh dan sebuah rumah di Gerbang Meru Indah tidak diambil kerana peranti itu masih digunakan pemiliknya.
Dalam pada itu, Nor Azlan tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, M. Athimulan bahawa alasan yang diberikan pemilik CCTV (bahawa dekoder masih digunakan) tidak boleh diterima pakai kerana kehendak undang-undang memperuntukkan supaya dekoder diambil bagi tujuan siasatan.
Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa dia tidak membuka atau melihat kandungan barang kes ketika menerima atau menghantarnya ke jabatan berkaitan untuk dianalisis.
Nor Azlan sebelum ini merupakan pegawai penyiasat jenayah di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), IPD Ipoh dan kini bertugas di IPD Bagan Datuk sejak Jun lalu.
Perbicaraan kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi, 17, memasuki hari ke-15 hari ini.
Deputi Superintenden Mohd. Nazri, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet bersambung esok. – UTUSAN