Ada hikmah disebalik keguguran - Amyra Rosli - Utusan Malaysia

Ada hikmah disebalik keguguran – Amyra Rosli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Mungkin Allah tahu saya belum bersedia untuk hamil.”

Demikian kata pelakon, Amyra Rosli yang reda dirinya belum mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata ketiga selepas mengalami keguguran sewaktu usia kandungannya mencecah dua minggu.

Kata pemilik nama lengkap Nur Amira Izzati Rosli, 33, dia kerap berasa bimbang dengan kandungannya ketika itu lebih-lebih lagi baru sahaja menerima tawaran naskhah telemovie bergenre aksi, Larian Terakhir.

“Sebenarnya, selepas saya menerima tawaran naskhah ini saya mula bimbang dengan kondisi saya yang sewaktu itu sedang hamil. Naskhah ini memerlukan banyak aksi dan berisiko untuk bayi dalam kandungan.

“Ketika itu juga banyak perkara lain yang saya bimbangkan seperti siapa yang akan menjaga anak-anak kerana suami saya akan melakukan umrah.

“Mungkin sebab itu saya keguguran sebelum usia kandungan mencecah lima minggu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran telemovie, Larian Terakhir, di sini, Khamis lalu.

Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Amar Baharin itu juga menganggap perkara yang berlaku sebagai hikmah selain mahu menjayakan watak dalam telemovie tersebut dengan baik.

“Saya anggap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Bayangkan kalau saya masih mengandung tetapi perlu melakonkan babak aksi. Itu pasti membahayakan kesihatan saya dan kandungan.

“Keadaan itu juga mungkin menyulitkan pihak penerbit kerana banyak babak perlu diubah. Sebab itu, saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik setiap kali bekerja,” jelasnya.

Yakin dengan aturan Sang Pencipta mengenai perihal zuriat, Amyra bagaimanapun bersyukur dan menganggap hidupnya sudah lengkap dengan kehadiran sepasang cahaya mata, Aqeef Anaqi, 7, dan Ayra Aryssa, 4.

“Itu semua rezeki Allah. Kalau diberikan zuriat lagi, Alhamdulillah. Kalau tidak, saya tetap bersyukur kerana sudah ada sepasang cahaya mata yang melengkapkan hidup saya.

“Saya lebih fokus memberikan kasih sayang sepenuhnya terhadap mereka kerana masing-masing sudah semakin besar dan mudah diuruskan.

“Kalau nak mengandung pun mestilah sebelum usia menginjak 35 tahun kerana kena fikir juga risiko kesihatan. Perlu fikirkan masa depan anak-anak, tak mahu dah berumur tapi anak masih kecil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amyra bakal muncul menerusi telefilem aksi lasak Larian Terakhir yang akan menemui penonton pada 15 Disember ini melalui saluran Degup (Unifi TV, saluran 120).

Selain Amyra, telefilem terbabit turut dibintangi barisan pelakon ternama seperti Fattah Amin, Fahrin Ahmad, Sherie Merlis, dan Ameerul Asyraf. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya