'Ada buaya lebih besar di Kampung Tengah'

‘Ada buaya lebih besar di Kampung Tengah’

BUAYA tembaga yang ditangkap berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Tengah, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penternak mendakwa buaya tembaga seberat 400 kilogram (kg) yang berjaya ditangkap berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Tengah, Klebang di sini kelmarin bukanlah reptilia yang membaham tiga ekor kambing miliknya, sejak Mei lalu.

Muhammad Hafiz Haiqal Abdullah, 28, berkata, selepas melihat bentuk fizikal dan kulit sang bedal yang dijerut anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu, dia pasti ia bukan buaya yang menyebabkannya kerugian ribuan ringgit.

“Buaya seberat 400 kg yang ditangkap itu bukan reptilia yang membaham kambing saya kerana ia jauh lebih besar dan kulitnya pula berwarna gelap.

“Saya kenal reptilia itu kerana sewaktu kejadian Mei lalu ia berlaku di depan mata dan saya pasti buaya yang dicari masih bebas belum ditangkap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Pada Rabu lalu, setelah lebih enam bulan diburu, akhirnya seekor buaya tembaga dianggarkan seberat 400 kg berjaya ditangkap menggunakan tali jerut berhampiran Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Kampung Tengah.

Buaya sepanjang tiga meter itu dijerut oleh anggota Perhilitan kira-kira pukul 10 malam.

Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai berkata, sang bedal itu dikesan berada di kawasan berkenaan pada pukul 5 petang oleh 12 anggota Perhilitan termasuk dari Perak dan Selangor yang turut membantu menangkap reptilia itu sejak 13 Disember lalu.

“Tiga kali usaha untuk menjerut mulut buaya itu menemui kegagalan, namun sang bedal itu tidak keluar dari empangan untuk melarikan diri menghala ke hulu Sungai Malim.

“Hampir dua jam anggota Perhilitan bertungkus lumus untuk menarik haiwan ini ke sebuah longkang berdekatan sebelum berjaya dibawa naik ke darat untuk diikat,” katanya.

Setakat ini, empat ekor buaya tembaga berjaya ditangkap sejak Mei lalu iaitu dua di Kampung Tengah dan dua di Sungai Malim berhampiran Taman Malim Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN