PETALING JAYA: Pelaksanaan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) perlu diperluaskan kepada motosikal baharu berkapasiti enjin 110 cc.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid berkata, ia sebagai langkah keselamatan untuk semua penunggang motosikal tanpa mengira kapasiti enjin.
Malah, katanya, ia wajar dilaksanakan dengan kadar segera berdasarkan situasi semasa dan jumlah penunggang motosikal yang semakin bertambah.
“Demi keselamatan, sebaiknya begitu (perluas kepada enjin 110cc). Laksanakan dengan kadar segera demi keselamatan, ” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, kerajaan memutuskan untuk mewajibkan semua motosikal enjin berkapasiti enjin 150cc memiliki sistem ABSyang akan bermula pada 1 Januari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun enggan mengulas lanjut berhubung pelaksanaan tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Penyelidikan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, kerajaan dalam masa sama perlu melaksanakan pemasangan kamera di setiap lampu isyarat selain mewajibkan pemasangan ABS.
“Brek ABS memberi perlindungan langsung kepada penunggang dan boleh mengurangkan kecederaan dalam kemalangan.
“Pemasangan kamera lampu isyarat pula dapat meningkatkan pematuhan undang-undang lalu lintas, mengurangkan pelanggaran lampu merah dan mencegah kemalangan di persimpangan. Justeru, kerajaan perlu laksanakan kedua-duanya secara berperingkat kerana fungsi keselamatan mereka saling melengkapi,” katanya.
Tambah Teik Hua, dianggarkan 10 sehingga 20 peratus penunggang motosikal melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat di kawasan bandar dan di luar bandar pula kadarnya boleh meningkat akibat kesesakan atau keinginan untuk menjimatkan masa perjalanan. – UTUSAN