PETALING JAYA: Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid akan memegang jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman baharu berkuat kuasa 13 Januari tahun depan.
Pelantikan beliau adalah bagi mengantika Datuk Seri Azmi Abu Kassim dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata, pertukaran pegawai kanan turut melibatkan Ketua Staf Pasukan Khas Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner, Nasaruddin M. Nasir.
Beliau berkata, Nasaruddin telah dilantik sebagai Ketua Kawalan dan Perlindungan Sempadan (KKPS) ICQS Bukit Kayu Hitam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
“Selain itu, pertukaran sama juga melibatkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Narkotik, kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis, Jasmirol Jamaluddin.
“Beliau akan bertukar dengan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) JSJN, Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner Polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN