KUALA LUMPUR: “Ini pertama kali saya memenangi anugerah selepas lebih 60 tahun berkecimpung dalam industri.”
Demikian kata pelakon veteran, A Galak selepas menerima peingiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada malam kemuncak Filem Festival Malaysia ke-33 (FFM33) yang berlangsung dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, malam ini.
Menurut A Galak, dia telah memulakan kerjayanya sebagai pelakon seawal usia 19 tahun di Singapura menerusi syarikat terbitan, Malay Film Production.
“Syukur, Alhamdulillah atas penganugerahan ini. Saya mula bekerja di Malay Filem Production, Singapura ketika usia saya berusia 19 tahun sehingga Jalan Ampas ditutup,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon filem Azura itu sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada penggiat seni yang menerima baik kedatangannya dalam industri perfileman Malaysia terutamanya penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam.
“Kemudian saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Paling berat sekali saya bekerja bersama Skop Production lebih 1000 episod drama bersiri kepolisan dibawah terbitan Datuk Yusof Haslam,” jelasnya.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada semua orang yang memberi peluang kepada saya budi kalian akan saya kenang hingga ke akhir hayat,” jelasnya.
Sekadar info, Galak mula aktif berlakon pada 1961 menerusi filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapuk sebagai penyamun.
Pada 1983, A Galak juga berlakon filem Darah Satria sebagai Sarjan Razak diikuti filem Azura pada 1984 dengan watak Datuk Puteh, iaitu bapa Zack lakonan Datuk Jamal Abdillah. -UTUSAN