KOTA BHARU: Lebih 50 peratus atau kira-kira 981 hektar sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang terjejas banjir belum dilindungi oleh Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, ia berikutan pesawah terlibat memulakan kerja-kerja menanam padi lebih awal berbanding pengenalan skim tersebut yang bermula September lalu.
Bagaimanapun, katanya, lebih 696 hektar sawah padi di bawah lembaga itu yang terlibat dengan kemusnahan akibat banjir dilindungi di bawah STTP.
“Mereka yang memulakan proses tanaman padi pada September lalu, semuanya telah didaftarkan di bawah skim tersebut dan mendapat pampasan kerosakan hasil padi akibat banjir.
“Bagi penanaman untuk musim akan datang kita daftarkan keseluruhan 26,664 hektar jelapang KADA,” katanya k semasa melapor diri sebagai Pengerusi KADA baharu di ibu pejabat agensi itu, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyarankan pesawah di seluruh negara mendaftar dengan STTP)bagi membolehkan mereka mendapat faedah pampasan sekiranya tanaman terkesan bencana termasuk banjir.
Sementara itu, berhubung jawatan baharunya sebagai Pengerusi KADA, Khalid berkata, pelantikannya oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bukan baksis iaitu berasaskan hadiah, balasan atau ganjaran.
Katanya, beliau bertekad dan mahu memenuhi tanggungjawab diberikan sebaik mungkin sebagaimana di amanahkan. – UTUSAN