KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan mencatatkan keputusan 94.66 peratus lulus keseluruhan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) tahun ini.
Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Rashinah Abdul Hamid berkata, seramai 8,555 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSRA bagi tahun 2024.
Menurutnya, dari jumlah itu, seramai 911 calon memperoleh sembilan Mumtaz, 527 orang calon memperoleh lapan Mumtaz dan 426 orang calon memperoleh tujuh Mumtaz.
“Mata pelajaran Al-Quran dan Hafazan mencatatkan peratusan lulus tertinggi iaitu 99.92 peratus serta peningkatan Gred Purata Skor (GPS) keseluruhan sebanyak 0.35 mata kepada 1.80 berbanding 2.15 pada UPSRA 2023.
“Kadar peratusan lulus keseluruhan mata pelajaran pula meningkat sebanyak 4.15 peratus dari tahun 2023 iaitu sebanyak 94.66 peratus,” katanya di Majlis Pengumuman UPSRA 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Roshinah berkata, institusi terbaik keseluruhan bagi UPSRA 2024 ialah Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Mahmoodiah, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) Sekolah Rendah Putrajaya Presint 8 (2) dan Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) Pusat Perkembangan Minda Fitrah.
Katanya, UPSRA meliputi mata pelajaran Al-Quran dan Hafazan, Bahasa Arab, Jawi & Khat, Feqah, Akhlak, Tauhid, Tajwid, Sirah dan Projek Berasaskan Sekolah.
“UPSRA dilaksanakan bertujuan untuk memastikan tahap pembelajaran murid berdasarkan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) dapat dicapai.
“Selain menjadi penanda aras kemenjadian murid dalam aspek akademik, amali, dan rohani, ia juga memberi kelebihan untuk proses pemilihan ke sekolah menengah pada setiap tahun,” katanya.
Pada program berkenaan, Wan Ahmad Umair Wan Saifulhasan dari SIRAJ Abdullah Ibnu Abbas dan Zahra Humaira Mohd. Zailani dari SIRAJ Saidina Uthman Bin Affan telah dinobat pelajar lelaki dan perempuan terbaik. – UTUSAN