KUALA LUMPUR: Tahap pencapaian pelaksanaan program Baucar Buku Madani mencatatkan kadar yang tinggi iaitu 91 peratus dengan nilai keseluruhannya RM262,602,150 di seluruh negara setakat 1 Disember lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Selangor menjadi negeri tertinggi yang sudah menebus baucer tersebut dengan jumlahnya sebanyak 599,906 daripada 663,889 pelajar.
Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, ia berjaya mencapai seratus peratus jumlah baucer ditebus dengan jumlah penerima sebanyak 12, 792.
“Hari ini kita buat pelaporan berkaitan baucer buku yang berkisarkan tentang lapan jaya kecil, saya fikir berbaki 28 hari lagi akan capai seratus peratus.
“Kerana ketika ini sudah capai 91 peratus, kita perlu kejar lagi dan saya percaya ia dapat dilaksanakan.
“Saya tidak fikir barangkali ada satu atau dua halangan akan rencatkan usaha kita semua kerana hanya memerlukan sedikit sahaja lagi loncatan untuk lengkapkan sehingga 100 peratus jumlah penebusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pameran Wacana Kejayaan Semasa Program Pemberian Baucar Buku Madani yang berlangsung di Parlimen di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, sebanyak RM290 juta diperuntukkan bagi pemberian Baucar Buku Madani kepada lebih 3.5 juta murid sekolah dan pelajar lepasan menengah.
Penebusan dan transaksi pembelian penuh tersebut boleh dilakukan sehingga 31 Disember ini.
Tambah Fadhlina, kawasan luar bandar antara kawasan yang paling tinggi penebusan baucar buku tersebut.
“Mungkin di bandar kita perlu lihat bagaimana mahu tingkatkan jumlah penembusan.
“Pemberian baucer itu adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan bahan bacaan berkualiti.
“Setakat ini kita lihat perkembangannya sangat baik dan saya berpendapat ia perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Elok sekiranya kerajaan dapat meneruskan baucer buku ini,” katanya.-UTUSAN