PETALING JAYA: Sebanyak 84 cawangan Bank Rakyat yang bersesuaian di seluruh Semenanjung Malaysia memasang sistem solar fotovoltaik (PV) bagi mendukung Aspirasi Pelan Peralihan Tenaga Negara.
Pemasangan PV adalah kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Berhad (Cenergi) sebagai inisiatif korporat kedua-dua pihak bagi mendukung aspirasi Pelan Peralihan Tenaga Negara ke arah peningkatan penjanaan tenaga daripada sumber boleh baharu kepada 31 peratus dan 40 peratus menjelang tahun 2025 dan 2030.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi merangkap Penanggung Tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, kerjasama ini bukan sahaja mengambil langkah besar dalam memastikan kelestarian tenaga di bangunan milik Bank Rakyat tetapi juga menyumbang ke arah aspirasi negara neutral karbon menjelang 2050.
“Inisiatif ini akan memberi impak bukan sahaja kepada Bank Rakyat tetapi juga kepada sektor kewangan dan masyarakat secara keseluruhan seiring dengan pelan strategik BR25 yang meletakkan kelestarian sebagai salah satu teras utama kami,” katanya dalam kenyataan.
Program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering, NEM) ini selaras dengan usaha negara untuk peralihan tenaga bersih dan mencerminkan komitmen Bank Rakyat terhadap kelestarian alam sekitar.
Projek ini menjadikan Bank Rakyat sebagai institusi kewangan pertama yang memasang solar PV bumbung di Malaysia bagi menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sendiri.
Projek ini turut selari dengan matlamat jangka panjang Bank Rakyat untuk menjadi sebuah institusi kewangan neutral karbon melalui inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui dan selebihnya menerusi projek-projek ofset karbon (carbon offset).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin berkata, Cenergi amat berbesar hati untuk berkongsi kepakarannya dalam sektor tenaga lestari serta membantu merealisasikan matlamat jangka panjang Bank Rakyat untuk menjadi insitusi kewangan neutral karbon di Malaysia.
“Inisiatif ini akan membolehkan cawangan Bank Rakyat yang terlibat mengurangkan pembelian tenaga daripada grid sehingga 4,000 MWh setahun dan pengurangan jejak karbon sebanyak 3,096 tan setahun, bersamaan dengan penanaman 51,000 pokok.
“Bermula seawal pertengahan tahun hadapan, Bank Rakyat dijangka mampu menjimatkan kos penggunaan elektrik di cawangan yang terbabit sehingga RM15 Juta untuk tempoh 25 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN