KUALA LUMPUR: Sejumlah 40 peratus kanak-kanak di Malaysia tidak mengetahui cara melindungi diri mereka ketika melayari internet, manakala 83 peratus lagi terdedah kepada pelbagai risiko dalam talian akibat perlindungan yang tidak mencukupi.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, statistik itu adalah hasil kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang menunjukkan tahap kesedaran keselamatan siber dalam kalangan kanak-kanak di negara ini masih rendah.
“Kanak-kanak adalah golongan paling mudah terjejas apabila berdepan ancaman seperti buli siber, eksploitasi seksual dan penyebaran maklumat palsu.
“Statistik ini membuktikan betapa pentingnya langkah segera diambil untuk memastikan keselamatan mereka dalam dunia digital,” katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang meminta beliau menyatakan usaha kementerian untuk menangani isu kemahiran keibubapaan dalam cabaran era media sosial yang boleh menjejaskan aspek nilai kekeluargaan.
Noraini berkata, setakat ini KPWKM telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi perkara ini seperti Modul Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA).
“Objektif pelaksanaan adalah memberi kemahiran asas pencegahan kemalangan dan situasi risiko yang berbahaya, asas menyelamat dan rawatan kecemasan serta keselamatan keluarga di alam siber.
“Bagi topik keselamatan keluarga di alam siber, ia meliputi pengetahuan berkaitan isu-isu keselamatan di alam siber seperti siber buli, sexting, online grooming dan kemahiran hands on kawalan ibu bapa (Parental Control),” katanya. – UTUSAN