PETALING JAYA: Polis setakat ini menahan seramai lapan individu berkaitan kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kesemua individu yang ditahan telah diberi jamin setelah tempoh reman tamat.
“Siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Bagaimanapun, ia masih perlu dilengkapan sebelum keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan polis menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara dan Ampang, Selangor bagi membantu siasatan insiden pergaduhan terbabit.
Rusdi dilapor berkata, mereka kini direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 dan 427 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.
Pihak polis mengesahkan menerima aduan kejadian itu daripada seorang anggota polis bantuan yang memaklumkan kejadian berlaku di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan di sini.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sekumpulan penyokong keluar dari tren dan berlaku pertengkaran dengan sekumpulan penyokong lain sebelum berlaku pergaduhan.
Kemudian dua kumpulan penyokong bola sepak dianggarkan kira-kira 20 hingga 30 orang bertindak agresif bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah, penghadang pintu lif ke arah tren serta menendang pintu tren.
Perbuatan itu mengakibatkan berlaku kerosakan pada bahagian pintu cermin tren serta menyebabkan tren terhenti lebih kurang lapan minit.-UTUSAN