KUANTAN: Sebanyak 763 kawasan membabitkan 11 daerah di negeri ini dikenal pasti sebagai berisiko banjir tahun ini dengan Temerloh dan Jerantut daerah pertama dan kedua tertinggi membabitkan 185 serta 106 kawasan.
Ia diikuti Pekan (89 kawasan), Lipis (88 kawasan), Bera (70 kawasan), Kuantan (64 kawasan), Raub (56 kawasan), Maran (51 kawasan), Bentong (23 kawasan), Rompin (20 kawasan) dan Cameron Highlands membabitkan 11 kawasan.
Selain itu, sebanyak 290 lokasi berisiko berdepan masalah jalan terputus kerana dinaiki air.
Sebagai persediaan, 164 pangkalan hadapan sudah dipersiapkan serta 858 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti boleh menampung 166,295 orang di semua daerah.
Selain itu, 266 lokasi pendaratan helikopter dikenal pasti bagi misi penyelamatan dan penghantaran bantuan jika penggunaan aset udara diperlukan.
Bagi penugasan semasa banjir, Jawatankuasa Kecil Pemindahan dan Menyelamat Mangsa Banjir Pahang mempunyai 4,576 pegawai dan anggota daripada 12 agensi dengan 671 kenderaan darat dan 210 aset air sedia digerakkan.
Bagi aspek kesihatan, Jabatan Kesihatan Pahang telah mengenal pasti 21,541 individu yang berisiko memerlukan fasiliti kesihatan pada musim banjir, antaranya mereka yang dijangka melahirkan anak, individu yang memerlukan bekalan ubat berterusan dan pesakit terlantar.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, persediaan rapi sudah pun dilakukan bagi menghadapi banjir kali ini
“Semuanya sudah kita buat serapi mungkin dan telah disembah taklimat ke sisi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebagai persediaan menghadapi MTL yang sudah pun bermula 5 November lalu, cuti kira-kira 8,000 kakitangan awam di Pahang bermula 25 November hingga 15 Januari 2025 dibekukan.
Keputusan berkenaan bagi memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta penduduk di Pahang dan Johor terutama di kawasan rendah bersiap siaga sepenuhnya bagi menghadapi banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, keadaan itu berikutan aliran air dari Kelantan dan Terengganu akan pergi ke dua negeri tersebut.-UTUSAN