60 pelajar SMK Bandar Bukit Kayu Hitam berpeluang ‘masuk’ UUM

60 pelajar SMK Bandar Bukit Kayu Hitam berpeluang ‘masuk’ UUM

PELAJAR SMK Bandar Bukit Kayu Hitam bergambar kenangan selepas menyertai program Jelajah Kampus: Inspirasi Kejayaan Masa Depan di UUM Sintok, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan inisiatifnya mendekati dan memperkasa komuniti setempat menerusi projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM).

Program bertajuk Jelajah Kampus Inspirasi Kejayaan Masa Depan yang diadakan baru-baru ini dianjurkan oleh pelajar Pendidikan Moral daripada kursus Projek Khidmat Komuniti, Pusat Pengajian Pendidikan UUM.

Ia bertujuan bagi memberi pendedahan persekitaran universiti serta menggalakkan minat belajar kepada 60 pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bukit Kayu Hitam.

Menurut Pengarah Program, Toh Cin Soon, SULAM adalah salah satu inisiatif pusat pengajian dalam menjalinkan khidmat bakti dengan pihak sekolah, selaras dengan visi universiti untuk melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.

“Lawatan ke universiti bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan, tetapi juga menyuntik semangat dan motivasi dalam diri pelajar untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Cin Soon berkata, seramai 21 mahasiswa UUM bertindak sebagai jawatankuasa program untuk mengendalikan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah itu.

Sementara itu, Penasihat Program, Dr. Nurul Jawahir Md. Ali berkata, SULAM turut menjadi wahana untuk mahasiswa memulangkan sesuatu kepada komuniti selain turut membina kemahiran kepimpinan, semangat kerjasama dan kesediaan untuk berbakti sebagai pendidik kelak.

Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Pendidikan (UUM) , Prof. Madya Dr. Mohd. Isha Awang pula menekankan kepentingan program seperti itu dalam membentuk nilai positif dan membangunkan potensi pelajar.

“Ianya bukan sahaja membuka ruang kepada pelajar sekolah untuk mengenali dunia universiti, tetapi memupuk semangat untuk terus belajar dan mengimpikan masa depan yang lebih cerah. Kerjasama seperti ini membuktikan komitmen UUM dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat,” katanya.

Bagi Pengetua SMK Bandar Bukit Kayu Hitam, Muhyiddin Omar, beliau gembira dengan kerjasama antara universiti dan pihak sekolah, di samping menyuarakan harapan agar usaha seumpama itu dapat diteruskan lagi. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN