5,791 kes penipuan pelaburan, kerugian RM745 juta dalam tempoh 11 bulan

5,791 kes penipuan pelaburan, kerugian RM745 juta dalam tempoh 11 bulan

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,791 kes penipuan pelaburan melibatkan nilai kerugian kira-kira RM745 juta dicatatkan sepanjang Januari hingga November tahun ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya telah mengenalpasti terdapat enam medium utama yang sering digunakan sindiket dalam penipuan pelaburan.

“Aplikasi Telegram direkodkan menjadi pilihan utama sindiket dengan 1,832 kes atau bersamaan 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala Facebook dan WhatsApp masing-masing merekodkan 1,436 dan 1,378 kes.

“Terbaharu, seorang pesara kerajaan berusia 68 tahun telah kerugian RM2.9 juta akibat terpedaya dengan skim pelaburan dikenali sebagai P Trade Pro pada Oktober lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini, semalam.

Menurut Ramli, wanita tersebut mendakwa terlihat iklan skim pelaburan berkenaan melalui laman Instagram dan kemudiannya telah menghubungi nombor telefon yang tertera dan dimasukkan ke dalam kumpulan di aplikasi WhatsApp.

Jelasnya, melalui kumpulan tersebut, mangsa telah diajar berkenaan skim pelaburan dan diarahkan membuat pembayaran ke beberapa akaun yang berkaitan. 

“Sindiket menjanjikan keuntungan dianggarkan bernilai RM6 juta selepas tiga hari membuat pelaburan.

“Sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan.Secara keseluruhan, pengadu telah membuat 34 kali pindahan wang ke lapan akaun bank yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM2.9 juta,” ujarnya.

Justeru, tambah Ramli, mangsa membuat laporan polis pada 12 Disember lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada kerana kebanjiran kandungan tidak sahih di aplikasi-aplikasi berkenaan telah mengundang pelbagai ancaman penipuan. 

“Sebarang perihal berkaitan pelaburan sewajarnya dirujuk kepada Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya