KUALA LUMPUR: 56 kes penipuan logo dan pensijilan halal melibatkan nilai rampasan RM1.813 juta dilaporkan tahun ini setakat Isnin lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata, kesalahan itu dilakukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Beliau berkata, setakat ini lebih 800,000 pemeriksaan telah dijalankan sepanjang tahun ini, dengan RM140,500 kompaun telah dikeluarkan terhadap pihak yang terlibat.
“Penguatkuasaan ini dijalankan setiap hari oleh lebih 2,000 penguat kuasa yang menjalankan tugas mereka,” katanya dalam Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Salehuddin Saidin mengenai kekerapan penguatkuasaan dan tindakan diambil terhadap produk makanan dan minuman bagi menjaga kebajikan orang Islam.
Menjawab soalan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad mengenai tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menangani isu penipuan logo dan pensijilan halal terutama dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman bukan Islam, Fuziah berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri bagi meningkatkan penguatkuasaan.
“Pengusaha bukan Islam yang memaparkan ayat al-Quran, lambang masjid, Kaabah, atau menggunakan nama Islam seperti berkat dan sebagainya di premis boleh dianggap melakukan kesalahan dari segi takrifan halal. Ini termasuk kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan,” katanya.
Menurutnya, pihak kementeriannya bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam negeri melaksanakan pemeriksaan berkala di premis makanan, minuman, dan kilang pemprosesan sebagai langkah mencegah penipuan logo halal.
“Jika didapati bersalah menggunakan logo halal palsu atau tanpa mendapatkan sijil halal sah, individu boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-dua sekali.
“Bagi syarikat, hukuman denda maksimum adalah RM200,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga RM500,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – UTUSAN