KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak pihak polis mengambil tindakan terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali Papagomo berhubung kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri telah mensabotaj Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Jurucakap Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Gempur), Mustapa Mansor berkata, pihaknya mengesan video menggunakan nama Papagomo@ Sir Azri yang membuat kenyataan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa cuba mensabotaj Muhammad Sanusi supaya pelabur keluar dari Kedah kerana diugut Perdana Menteri.
Katanya, selain itu, Papagomo turut menuduh Anwar mengugut tidak melabur di negeri Kelantan, Terengganu dan Perlis termasuk pelabur kecil bertujuan menunjukkan kebodohan kerajaan mentadbir urus negeri.
“Kenyataan ini adalah andaian persepsi fitnah dan palsu tentang perbuatan Perdana Menteri terutamq yang melibatkan pelaburan berunsur sogokan dan berkepentingan.
“Ini merupakan fitnah dan hasutan yang tiada bukti, bersandarkan percakapan atau ‘hearsay’,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.
Terdahulu, Geram yang mewakili 50 NGO lain telah membuat laporan di IPD Dang Wangi pada 12 tengah hari.
Menurut Mustapa, kenyataan Papagomo berunsur sabotaj kerana putar belit fakta tersebut demi menjejaskan reputasi kredibillti kerajaan terhadap Anwar selaku pemimpin negara.
“Kami dapati content YouTube ini telah melemparkan fihah berniat jahat dan segala tohmahan tidak masuk akal telah merosakkan nama baik Anwar serta kerajaan Madani.
“Justeru, kami menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Papagomo berkaitan tuduhan dilemparkannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan laporan itu.
“Ya, saya sahkan terima, kami akan teliti laporan,” katanya.
Sebelum ini, blogger Papagomo telah memuat naik satu video berdurasi selama 11 minit 23 saat mendakwa Anwar telah mensabotaj Muhammad Sanusi berkaitan isu pelaburan di negeri terbabit.
Ia susulan pendedahan Muhammad Sanusi mendakwa wujudnya plot yang dicipta untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri ini namun belum mahu mendedahkan dalang dikatakannya.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu merujuk kepada keputusan peneraju pelaburan global Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka bernilai RM40 bilion di Langkawi namun tidak mendedahkan butirannya.- UTUSAN